Senibina kaca Kaca

Banyak bangunan tinggi pada masa sekarang diperbuat daripada kaca. Kaca yang digunakan biasanya daripada jenis tidak berkilat, untuk mengelakkan silauan keterlaluan kepada orang yang berada di luar bangunan. Selain itu, kaca yang menyerap gelombang infra digunakan bagi mengelakkan haba daripada tembus ke dalam bangunan. Ini boleh menyebabkan kos hawa dingin yang tinggi. Selain itu penggunaan tingkap kaca dwilapis bagi menebat haba luar daripada masuk ke dalam, dan hawa sejuk dalam bangunan daripada keluar bagi bangunan di kawasan beriklim panas atau sebaliknya di kawasan beriklim sejuk.

Kaca apung

90% daripada kaca nipis diperbuat dengan menggunakan proses kaca terapung yang dicipta oleh Sir Alastair Pilkington dari Pilkington Glass, di mana kaca cair dituang ke atas timah cair. Kaca tersebut terapung dipermukaan timah, tersebar ke semua arah. Kaca tersebut perlahan-lahan mengeras ketika ia mengembang di atas timah cair, sebelum ditarik keluar daripada rendaman timah dalam bentuk ribon dan kemudiannya disepuh dengan menggunakan api, menghasilkan permukaan rata yang hampir sempurna.

Kaca waja

Kaca waja diperbuat daripada kaca biasa yang ditempa melalui proses pewajaan haba "thermal tempering". Kaca dipotong kepada saiz diperlukan dan sebarang proses diperlukan seperti melicinkan tepi atau menebuk lubang pada kaca) dilakukan sebelum proses pewajaan dilakukan. Kaca tersebut kemudiannya diletakkan di atas meja golek, dan disalurkan melalui tempat pembakar yang mempunyai suhu titik pewajaan kaca yang mencecah sehingga 600 Selsius. Kaca tersebut kemudiannya disejukkan secara mengejut dengan tiupan udara. Penyejukan mengejut ini mendorong tekanan pemampatan pada permukaan kaca diimbangi oleh tekanan dalam kaca. Seolah-olah satu salutan tegang kaca terbentuk pada permukaan kaca. Pola penyejukkan ini boleh dilihat dengan memerhati kaca di bawah cahaya berkutub. Kaca waja dianggarkan enam kali lebih kuat berbanding kaca biasa.

Bagaimanapun, kekuatan ini datang dengan kekurangannya. Disebabkan keseimbangan tekanan pada kaca, sebarang kecacatan pada bahagian tepi kaca akan menyebabkan kaca berkecai kepada saiz ibu jari. Ini adalah sebab utama kaca perlu dipotong kepada saiz yang dikehendaki sebelum ditempa dan tidak boleh diubah lagi setelah ditempa. Selain daripada itu, permukaan kaca tempa tidak sekuat kaca biasa dan mudah bercalar berbanding kaca biasa.

Kaca tempa biasanya digunakan dalam pemasangan tanpa bingkai seperti pintu kaca dan dalam penggunaan menyokong struktur "structurally loaded".

Kaca waja dianggap kaca keselamatan disebabkan peningkatan kekuatannya dan kecenderongannya untuk berkecai pada saiz yang kecil yang tidak tajam, oleh itu kurang berbahaya sekiranya pecah.

Kaca lapis

Kaca lapis dibuat dengan melekatkan dua atau lebih lapisan kaca biasa dengan lapisan plastik antaranya, biasanya polyvinyl butyral (PVB). PVB diisi diantara lapisan kaca sebelum dipanaskan sehingga 70 Selsius dan dilalukan di atas penggolek bagi menyingkirkan sebarang gelembung udara dan membentuk lekatan pertama.

Lapisan PVB pada kaca juga meningkatkan kemampuan menebat bunyi, disebabkan kesan serapan, dan juga menghalang 99% daripada cahaya lampau ungu (UV).

Kaca lapis biasanya digunakan apabila terdapat kemungkinan hentaman manusia atau apabila kaca boleh jatuh jika pecah. Cermin tingkap kedai biasanya menggunakan kaca lapis.

Kaca lapis dianggap kaca keselamatan disebabkan keupayaannya untuk melekat dan tidak berkecai walaupun telah pecah.